KUALA LUMPUR - Manusia berhati binatang, gambaran sesuai diberikan kepada individu yang tergamak menyumbat bayinya dalam sebuah kotak kecil sebelum dibuang berdekatan longgokan sampah di Jalan Mahmud, Kampung Baru, di sini, pagi semalam.
Lebih malang, bayi perempuan cukup sifat dan lengkap berpakaian itu ditemui sudah tidak bernyawa oleh orang awam dan dipercayai baru saja dilahirkan kerana masih bertali pusat.
Saksi kejadian, Supik Satu, 43, berkata, dia menemui bayi malang itu kira-kira jam 10 pagi ketika ingin membuang sampah di depan rumahnya.
“Selesai mengemas rumah, saya ke tempat pembuangan sampah dan terpandang sebuah kotak terdapat kain tersembul keluar daripada kotak itu.
“Apabila saya tarik kain itu saya ternampak kepala bayi,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Supik berkata, dia terkejut dan tidak menyangka kain yang ditarik itu topi bayi.
“Mungkin mayat ini ditinggalkan depan rumah saya malam tadi kerana petang semalam kotak itu tiada di situ.
“Kebetulan, malam tadi (semalam) saya tiada di rumah kerana menziarahi keluarga di Gombak,” katanya.
Mayat bayi perempuan itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.
Difahamkan, hasil laporan bedah siasat mendapati bayi itu hidup semasa dilahirkan dan tiada kecederaan atau patah tulang dialami bayi malang itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman berkata, hanya jantina mayat itu dikenalpasti berdasarkan fizikalnya, bagaimanapun identitinya tidak dapat dipastikan lagi.
Katanya, polis juga sedang menyiasat tempoh kelahiran bayi itu sebelum ia dijumpai di tempat kejadian.
Smber: SINAR HARIAN
Post by,
Miss Ran
No comments:
Post a Comment